Tempoh cuti sekolah kekal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan memanjangkan tempoh cuti persekolahan pada September depan walaupun ia bertembung dengan tarikh Aidilfitri yang dijadual disambut pada 10 hari bulan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian mengambil keputusan untuk tidak mengubah takwim persekolahan sedia ada kerana berpendapat tempoh cuti perayaan yang diperuntukkan sudah memadai.

Katanya, kementerian turut mengambil kira kepentingan pelajar lain, terutama calon yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 21 hingga 23 September depan.
“Pelajar mula bercuti pertengahan penggal pada 4 September dan kembali ke sekolah pada 13 September selepas Aidilfitri,” katanya selepas majlis perasmian Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Ke-2 2010, semalam.

Sumber:
Berita Harian Online -14/07/2010

Kerajaan kaji naikkan elaun, naik taraf kuarters guru di pedalaman

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan menaikkan elaun tambahan guru-guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman terutama di kawasan yang dikategorikan sebagai pedalaman 2 (P2) dan pendalam 3 (P3), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada langkah yang ditimbangkan kerajaan bagi memastikan guru-guru di kawasan itu yang kebanyakannya terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan yang sewajarnya.

"Memang saya akui guru-guru ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, sebagai contoh di Kinandut apabila mereka yang keluar membeli barang di Pensiangan kadang-kadang tersadai sehingga dua hari apabila pemandu lupa mengambil mereka dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mengajar manakala kos mereka pergi balik naik bot pula lebih kurang RM500.

"Sebab itu guru-guru di kawasan P3 di beri elaun tambahan RM1,500, P2 RM1,000 dan P1 RM500. Oleh itu kerajaan sedang berusaha untuk mengkaji semula sama ada elaun ini boleh dinaikkan atau pun tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Ahamat@Ahamad Yusop yang mahu tahu langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian bagi memastikan guru-guru di pedalaman Sabah dan Sarawak mendapat kemudahan sewajarnya.

Puad berkata kerajaan juga sedang berusaha menaik taraf kuarters guru-guru di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bagi memastikan keselamatan mereka yang mendiaminya terjamin.

"Kerajaan akan pastikan kuarters penginapan guru-guru ini selamat untuk diduduki dan akan naik taraf supaya ia sesuai dan selamat terutama untuk guru-guru wanita yang bertugas di pedalaman. Kerajaan akan pastikan bangunan itu selamat, kukuh, pintunya kuat dan berpagar," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengambilan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini berjumlah 7,079 orang.

"Bagi KPLI 1,435 calon lelaki dan 2,270 calon wanita dipanggil untuk temuduga bagi mengisi kekosongan 1,878 tempat. Manakala KPLSM 5,030 calon lelaki dan 5,118 calon wanita dipanggil untuk temuduga bagi mengisi 5,201 kekosongan," katanya.

Mengenai nisbah pengambilan guru yang akan diseimbangkan mengikut jantina iaitu 50 peratus lelaki dan 50 peratus wanita mulai tahun ini, beliau berkata ini disebabkan kerajaan kini memerlukan guru lelaki sebagai guru disiplin dan sebagai tenaga pengajar di kawasan pedalaman.

"Guru lelaki lebih sesuai sebagai guru disiplin bagi mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar. Mereka juga sesuai untuk dihantar ke pedalaman atas faktor keselamatan dan sebagai memenuhi aspirasi kementerian yang mahukan sukan dimasukkan sebagai elemen penting dalam kurikulum persekolahan," katanya.

Puad berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Azizah Abd Samad yang ingin tahu langkah kementerian dalam mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar lelaki dan jumlah calon mengikut gender yang memohon untuk menjadi guru bagi tahun ini. - Bernama

Sumber: Berita Harian Online, 26/04/2010

Program 1Keluarga 1Graduan diperluas

by Mastura Ismail

Kerajaan mahu semai kesedaran pendidikan di kalangan penduduk luar bandar

LIMBANG: Program 1Keluarga 1Graduan akan diperluaskan di kawasan luar bandar dan pedalaman di daerah ini dengan melaksana pelbagai program kesedaran berbentuk pendidikan kepada golongan sasar.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata program berkenaan akan dijalankan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pelajaran, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat.

Beliau menjelaskan masyarakat di pedalaman perlu diberikan pendedahan dengan kesedaran pentingnya pendidikan bagi merealiasikan matlamat kerajaan melahirkan sekurangkurangnya sebuah keluarga memiliki seorang graduan berkelulusan tinggi.

“Pada masa ini memang ada kesedaran di kalangan ibu bapa di pedalaman yang mahu anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.

“Tetapi keinginan tersebut hanya setakat pendidikan di sekolah rendah tetapi kurang keyakinan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya di peringkat tertinggi,” katanya pada program 1Keluarga 1Graduan di SK Limpaku Pinang baru-baru ini.

Hadir sama ialah Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Limbang, Asmah Yasin, Pegawai Penerangan Bahagian, Mohd Azlan Charles Abdullah, Guru Besar SK Limpaku Pinang, Lajim Karia, Ketua Kampung Limpaku Pinang, Simat Zaman Sapar dan jemputan lain.

Dr Rahman juga mahu jumlah pelajar luar Bandar yang melanjutkan pengajian ke universiti meningkat saban tahun.

Beliau berkata pendidikan amat penting dalam menentukan hala tuju serta mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

“Justeru ibu bapa terutama di pedalaman harus menekankan pentingnya pendidikan di kalangan anakanak untuk mengubah taraf kehidupan mereka.

“Hanya melalui pendidikan kita yakin penduduk di pedalaman akan lebih maju menbangun setanding dengan anak-anak di bandar,” ujarnya lagi.

Beliau juga mahu usaha untuk merealiasikan 1Keluarga 1Graduan akan diteruskan dari masa ke masa dalam memberi kesedaran pentingnya pendidikan di kawasan luar bandar.

Sumber : Borneo Post Online