SISTEM Aduan Disiplin (SAD) yang diwujudkan sejak 2004 berkesan membantu Kementerian Pelajaran menyelesaikan banyak isu salah laku pelajar pada kadar segera serta mengurangkan masalah menyorok kes.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata banyak maklum balas serta aduan berkaitan salah laku pelajar diterima SAD menerusi saluran seperti hotline, e-mel, faksmili, surat, akhbar serta laman web dan semuanya sudah disiasat dan diambil tindakan.
Beliau memberi contoh pada tahun lalu sebanyak 108 aduan disiplin pelajar diterima menerusi SAD iaitu 18 maklum balas menerusi hotline, e-mel (13), faksmili (10), surat (9) akhbar (21) serta laman web (37).
“SAD adalah gambaran ketelusan Kementerian Pelajaran dalam menangani isu salah laku pelajar dan siapa saja boleh membuat aduan menerusi sistem ini.
“Enam saluran aduan diwujudkan menerusi sistem ini terutama hotline, e-mel dan laman web memudahkan orang ramai menghantar maklum balas dan memaklumkan salah laku pelajar, sekali gus memudahkan usaha Kementerian menanganinya.
“Dengan adanya sistem ini, masalah berkaitan menyorok kes disiplin juga dapat dikurangkan,” katanya kepada Berita Harian.
Selain menerusi laman web Kementerian Pelajaran iaitu http://emoe.gov.my, orang ramai boleh mengemukakan aduan menggunakan Hotline 1-800-88-4774, faksmili 03-8888 6681, e-mel adudisiplin@moe.gov.my, SMS 33238 atau 33ADU serta menghantar surat ke Bahagian Sekolah.
Zulkifly berkata, selain aduan disiplin, maklum balas lain berhubung perkhidmatan pendidikan juga boleh diajukan menggunakan SAD termasuk kelewatan atau ketidakadilan tindakan pengurusan sekolah, kekurangan kemudahan awam di sekolah, kepincangan pelaksanaan dasar dan kelemahan undang-undang, salah guna kuasa atau penyelewengan, kegagalan penguatkuasaan dan khidmat nasihat.
Namun, katanya, Bahagian Sekolah tidak mengambil aduan tertentu seperti kes yang telah difailkan di mahkamah, kes di bawah bidang kuasa Biro Pencegah Rasuah yang membabitkan rasuah oleh pegawai atau kakitangan kerajaan, perkara yang berlaku melebihi tempoh enam bulan, kes umum dan tidak mempunyai maklumat tepat seperti ketiadaan tarikh, tempat dan masa kejadian.
Sumber: Berita Harian Online, 2 Oktober 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan