Ujian aptitud bukan penentu kemasukan pelajar ke SBP

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

UJIAN aptitud yang akan dilaksanakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) secara rintis di 600 sekolah hujung tahun ini

bukan sebahagian penilaian penentuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) sebaliknya usaha terbaru Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan profil pelajar bagi memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani, menjelaskan kewujudan profil itu antara lain membolehkan SBP menyesuaikan P&P mengikut keperluan berbeza pelajar serta menetapkan kegiatan kokurikulum bersesuaian dengan bakat dan minat mereka.
Beliau turut menekankan ujian yang terdiri daripada 60 soalan aneka pilihan itu tidak akan membebankan pelajar, malah mereka tidak perlu membuat sebarang persediaan menghadapinya kerana ia hanya membabitkan aspek kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, keupayaan menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan dan kesediaan menjalani kehidupan di asrama.
“Berikutan pengumuman projek perintis ujian aptitud baru-baru ini, bahagian SBP menerima maklum balas ibu bapa yang antaranya menyangka ia ujian penilaian tambahan bagi menentukan kemasukan ke SBP serta bertanya apa persediaan perlu dilakukan bagi menghadapinya.
“Saya ingin menjelaskan dasar dan proses permohonan kemasukan ke SBP kekal iaitu permohonan dibuat menerusi sekolah dan diuruskan Jabatan Pelajaran Negeri. Ujian aptitud yang akan mula dilaksanakan tahun ini tidak ada kaitan langsung dengan penentuan kemasukan ke SBP.
“Sebaliknya ia bertujuan mengenal pasti potensi pelajar bagi membolehkan profil kepelbagaian mereka diwujudkan mulai tingkatan satu termasuk aspek bakat, minat dan keupayaan menyelesaikan masalah. Misalnya, jika hasil ujian menunjukkan kecenderungan pelajar adalah dalam bidang seni, sekolah boleh menggalakkan pelajar itu menyertai kegiatan kokurikulum dalam bidang berkenaan supaya bakatnya boleh digilap.
“Tiada jawapan salah atau betul dalam ujian itu. Malah, pelajar di 600 sekolah terpilih yang menjalani ujian berkenaan tidak perlu mengulang kaji buku tertentu atau menghadiri sebarang kursus untuk menghadapinya, sebaliknya jawab soalan itu dengan jujur supaya sekolah benar-benar dapat mengenal pasti potensi mereka,” katanya kepada Berita Harian, di Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau mengulas pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, mengenai pelaksanaan projek perintis ujian aptitud di 600 sekolah rendah selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini membabitkan calon yang memohon memasuki SBP.
Siti Zaleha berkata, pelajar terpilih menjalani ujian berkenaan juga tidak akan mendapat sebarang keutamaan atau kelebihan dalam permohonan mereka ke SBP kerana hasil ujian terbabit hanya akan digunakan SBP untuk tujuan mewujudkan profil jika ada di kalangan mereka dapat memasuki SBP tahun depan.
Mengenai pelaksanaan sepenuhnya ujian itu, Zaleha berkata ia akan ditentukan LPM.
“LPM akan menganalisis data ujian perintis ini sebelum menentukan masa sesuai pelaksanaan sepenuhnya. SBP akan membantu analisa menerusi perbandingan hasil ujian dengan potensi sebenar pelajar apabila berada di SBP,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online, 09/10/2008


Tiada ulasan: