Kementerian uji guru PPSMI


KEMENTERIAN Pelajaran menjalankan ujian penilaian terhadap guru yang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai mekanisme bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bimbingan secara khusus dalam melaksanakan inisiatif kerajaan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata selain itu pengetua sekolah diminta memaklumkan kepada kementerian jika ada guru PPSMI yang memerlukan latihan lanjutan untuk meningkatkan kemahiran mereka mengajar dalam kedua-dua subjek berkenaan termasuk penguasaan bahasa Inggeris.

Tanpa menyatakan jumlah guru yang dikenal pasti memerlukan bimbingan khusus itu, beliau menjelaskan langkah berkenaan bukan bertujuan mewujudkan jurang di kalangan guru PPSMI sebaliknya memastikan semua pendidik yang terbabit dalam program berkenaan mendapat pengetahuan dan kemahiran sewajarnya.

“Dalam setiap program dan latihan guru PPSMI, ujian penilaian khusus dijalankan bagi mengenal pasti pencapaian guru terbabit dalam pelaksanaan inisiatif itu dan mereka yang dikenal pasti gagal memenuhi piawaian ditetapkan akan diberi bimbingan secara individu.

“Saya meminta guru yang dikenal pasti memerlukan bimbingan tidak luntur semangat serta menyalah tafsir langkah kementerian ini sebagai tindakan mengkelaskan mereka sebagai guru yang tidak boleh melaksanakan PPSMI.

“Sebaliknya, kementerian ingin menunaikan tanggungjawab memastikan semua yang terbabit bersedia sepenuhnya melaksanakan inisiatif itu supaya manfaatnya dinikmati pelajar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran program Team Teaching di Sekolah Kebangsaan Taman Jasmin, Kajang, Selangor, semalam.

Hadir sama, Pengarah British Council Malaysia (British Council), Gerry Liston; Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Berhad, Irene M Dorner serta Pengarah Pusat Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Ali Abd Ghani.

Program Team Teaching adalah inisiatif terbaru dilaksanakan bersama Kementerian Pelajaran dan British Council dalam penganjuran kursus khas bagi mempertingkatkan kemahiran guru PPSMI.

Sebelum ini, dua program berjaya dijalankan menerusi kerjasama tiga pihak iaitu Literature in Language Teaching bagi guru sekolah menengah serta Mathematics and Science Trainer Training Programme untuk Jurukatih Utama subjek Sains dan Matematik.

Buat permulaan projek rintis Team Teaching yang dilaksanakan sejak Mac lalu hingga Jun ini membabitkan 20 guru di lima sekolah sekitar Hulu Langat, Selangor iaitu SK Taman Jasmin, SK Bandar Teknologi Kajang, SK Leftenan Adnan, SK Kajang dan SK Sg Ramal Dalam.

Gerry, berkata menerusi kursus itu dua guru Bahasa Inggeris di setiap sekolah terbabit diberi mandat membantu seorang guru Sains dan Matematik untuk melaksanakan PPSMI termasuk merancang dan merangka teknik pengajaran serta memerhati pelaksanaan kaedah itu dalam kelas.

“Bagi membolehkan manfaat kursus ini disampaikan sebaik mungkin, ia akan dirakam dan diterbitkan dalam versi DVD supaya dapat dikongsi bersama sekolah lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Asariah berkata masalah kekurangan guru di sekolah ketika ini adalah terkawal dan Kementerian mendapat bantuan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membekalkan Guru Sandaran Terlatih (GST) untuk mengisi sebarang kekosongan.

Sumber: Berita Harian Online, 25 Jun 2008




Tiada ulasan: