Kursus di IPG bentu pendidik di sekolah rendah gengam ijazah
KEMENTERIAN Pelajaran akan melancarkan dua program khas bagi meningkatkan tahap kelulusan akademik, sekali gus mencapai hasrat 50 peratus guru sekolah rendah terdiri daripada kalangan siswazah pada 2010.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata program khas berkenaan ialah Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) dan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB).
Bagi PGSR, beliau berkata, program itu akan dikendalikan di institut pendidikan guru (IPG) seluruh negara mulai tahun ini hingga 2012 dengan membabitkan tempoh pengajian selama empat tahun.
“Ambilan pertama tahun ini bermula pada 17 November depan hingga 31 Disember 2012 di IPG. Program ini akan diadakan sewaktu cuti sekolah, manakala unjuran pengambilan pula ialah 3,000 guru setiap tahun.
“Bidang yang ditawar membabitkan pelbagai mata pelajaran. Selepas tamat pengajian, peserta program akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (Pendidikan Rendah).
“Iklan program ini akan disiarkan melalui akhbar tempatan dan permohonan juga dibuka secara dalam talian. Siaran iklan PGSR ialah pada 15 Julai, manakala tarikh tutup permohonan dijangkakan 29 Julai depan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.
Seterusnya, Alimuddin berkata, PKPGB dikhususkan kepada mereka yang memegang jawatan guru besar atau pegawai Kementerian Pelajaran pernah menjadi guru besar serta menyandang gred DGA34 dan DGA32, serta berumur tidak melebihi 48 tahun.
Beliau berkata, program selama tiga tahun itu dilaksanakan secara mod intensif di mana dalam setahun, empat sesi kuliah akan diadakan secara intensif merangkumi 148 hari.
Sambil menjelaskan setiap pertemuan terbabit adalah selama empat minggu atau maksimum 37 hari, katanya, peserta akan diberi tugasan ketika bertugas di sekolah.
Beliau berkata, unjuran pengambilan PKPGB tahun ini ialah 400 peserta dan selepas tamat pengajian, mereka akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan).
“Saya menyarankan kepada semua guru yang berkenaan supaya mengambil peluang memohon program pensiswazahan ditawarkan kementerian ini.
“Ini kerana mod intensif yang digunakan mengambil kira pengalaman mereka dalam perkhidmatan sebagai pertukaran kredit ketika pengajian.
“Selain itu, peserta akan mendapat gaji penuh sepanjang pengajian, manakala pengalaman dan tempoh masa perkhidmatan diambil kira dalam mempertimbang kelayakan memohon program ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian Online, 5 Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan