Ujian Sejarah dalam UPSR 2013

Sumber: Berita Harian Online, 17/10/2008


Subjek diajar secara khusus kepada murid Tahun 3 bermula 2010


KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013 apabila subjek itu diajar secara khusus kepada murid Tahun 3 pada 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah, yang dijangka beroperasi dua tahun lagi.


"Kita ambil kira saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan subjek Sejarah diwajibkan pada peringkat sekolah rendah. Kita bercadang menjadikan mata pelajaran ini diajar secara khusus bermula Tahun 3 sehingga Tingkatan 5.

"Sukatan pelajarannya akan ditentukan selepas perbincangan mendalam dilaksanakan membabitkan semua pihak dan mereka yang berminat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, unsur sejarah pula akan diterapkan melalui Bidang Kemanusiaan dan Bidang Bahasa bagi murid Tahun 1 dan 2.


Razali berkata, ketika ini, kandungan Sejarah pada peringkat sekolah rendah terkandung dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

"Unsur Sejarah diberikan pendedahan kepada murid sekolah bertujuan melahirkan murid yang berpengetahuan mengenai hubungan mereka dengan masyarakat, memahami dan menghargai sejarah negara.

"Kandungan yang berkaitan dengan komponen Sejarah ialah menekankan mengenai tema berkaitan Mengenal Negara Kita dan Sejarahnya serta Ekonomi dan Kejayaan Negara," katanya.


Tiada ulasan: