Respons: Jadikan Sejarah subjek subjek wajib lulus dalam UPSR


Sumber : Berita Harian Online, 17/10/2008

KITA mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kerana menjadi calon pertama layak bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti akan datang.

Walaupun pertandingan hanya akan dilangsungkan Mac tahun depan, tetapi berdasarkan sokongan akar umbi yang cukup kuat, kita yakin Hishammuddin merupakan calon ‘favourite’ dalam persaingan menempah satu daripada tiga kerusi untuk jawatan berkenaan.

Sungguhpun Hishammuddin tidak banyak berkempen berbanding calon lain kerana sibuk dengan tugasnya sebagai Menteri Pelajaran kebelakangan ini, termasuk menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif Unesco yang diadakan di Paris baru-baru ini, ternyata jumlah pencalonan yang tinggi diperoleh beliau membuktikan keyakinan akar umbi terhadap kemampuannya melaksanakan tugas serta komitmen beliau, sama ada sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno mahupun Menteri Kabinet.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mencadangkan supaya subjek Sejarah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah supaya pelajar mendapat pendedahan awal sejak di peringkat kanak-kanak mengenai sejarah negara. Cadangan Perdana Menteri itu harus disokong dan diberi perhatian serius khususnya Kementerian Pelajaran berikutan pelbagai isu yang dibangkitkan kebelakangan ini mencetuskan kemarahan serta perasaan tidak puas hati kaum tertentu, banyak berpunca daripada individu yang jahil terhadap sejarah bangsa dan tanah air.

Sepatutnya pengajaran dan pembelajaran Sejarah di sekolah rendah telah lama dilaksanakan berikutan cadangan yang pernah diutarakan oleh beberapa pihak sebelum ini bertujuan menyemai semangat patriotik di kalangan murid bermula daripada peringkat kanak-kanak. Buat masa ini, subjek Sejarah mula diajar kepada pelajar Tingkat 1 dan menjadi subjek teras di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tentu ada yang masih ingat, suatu ketika dulu Sejarah pernah menjadi subjek yang diajar di sekolah rendah, tetapi ketika itu ia dikenali sebagai Tawarikh. Mungkin juga disebabkan tindakan kerajaan memansuhkan subjek itu di peringkat sekolah rendah dan hanya diajar di sekolah menengah sehingga ke hari ini, menjadi satu daripada penyebab generasi sekarang tidak begitu patriotik terhadap tanah airnya, semangat perpaduan yang rapuh dan mudah terpengaruh dengan hasutan yang berbau perkauman.

Jika sejarah diajar secara berterusan sejak di peringkat awal, kita yakin generasi hari ini mampu memahami secara mendalam pelbagai perkara berhubung sejarah tanah airnya sendiri, hak sesuatu kaum serta asal usul setiap kaum yang ada di negara ini. Pengetahuan serta penghayatan mendalam mengenai sejarah tanah air juga mampu memperkuatkan persefahaman antara kaum, bertolak ansur serta tidak mudah termakan hasutan pihak tertentu sehingga menggugat perpaduan kaum.

Bukan itu saja, mereka juga tahu menghargai jasa pejuang kemerdekaan, menghormati pemimpin dan bersedia berkorban mempertahankan maruah negara dan mengharumkan nama negara. Langkah memansuhkan subjek Tawarikh kini sudah tercatat sebagai satu sejarah dan kita harus mengambil iktibar daripadanya bagi memastikan tidak mengulangi kesilapan sama dalam membuat keputusan hari ini dan masa depan.

Dalam senario hubungan kaum sekarang, Sejarah tidak lagi sesuai diajar secara merentas kurikulum menerusi subjek tertentu. Kaedah itu sendiri sudah memberi gambaran serta persepsi bahawa ia tidak mementingkan aspek sejarah kerana disampaikan secara sambil lewa dan tidak berfokus atau bagai melepaskan batuk di tangga, berbanding subjek lain yang disampaikan oleh guru yang khusus.

Mempelajari sejarah hanya ketika berada di peringkat sekolah menengah juga dianggap sudah terlewat dan pelajar tidak mempunyai asas kukuh dalam memahami sejarah negara yang begitu luas skopnya.

Apabila Sejarah kembali menjadi subjek di sekolah rendah pada 2010 seperti dijanjikan Menteri Pelajaran, kita menyarankan supaya ia dijadikan sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Langkah itu akan menjadikan ibu bapa setiap kaum memberi perhatian serius dan bersungguh-sungguh menggalakkan anak mereka mempelajari Sejarah.

Hanya dengan cara itu mereka akan menghargai dan menganggap subjek Sejarah itu penting. Kita tidak mahu murid mempelajari Sejarah seperti mereka mempelajari subjek lain misalnya Seni atau Sivik yang dipelajari sekadar memenuhi jadual mata pelajaran.

Silibus Sejarah sekolah rendah juga harus digubal bersesuaian dengan tahap murid dan guru memainkan peranan penting untuk menjadikan Sejarah sebagai subjek yang mampu menarik minat untuk dipelajari murid. Selain belajar di dalam kelas, subjek Sejarah juga boleh dipelajari menerusi penganjuran pelbagai aktiviti luar seperti melawat ke tempat bersejarah, mengadakan pameran serta pertandingan kuiz yang boleh menjadikan pengajarannya lebih menarik dan berkesan.



Tiada ulasan: