Projek bekalan air tangki untuk atasi masalah bekalan air di Kampung Limpaku Pinang

March 25, 2010, Thursday

LIMBANG: Pelaksanaan projek bekalan air tangki yang menelan kos RM5 juta di kawasan pesisir laut Kampung Limpaku Pinang di sini mampu menangani masalah kekurangan air, terutama setiap kali menjelang musim kemarau.Ahli Dewan Undangan Neger i (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata projek di bawah pakej Bekalan Air Luar Bandar itu sudah diluluskan kerajaan pusat dan kini dalam proses pembinaan.

Katanya, penduduk yang selama ini bergantung kepada air hujan untuk mendapatkan bekalan air minum akan menikmati kemudahan tersebut jika ia dapat disiapkan secepat mungkin.

“Kita berharap penduduk dapat bersabar kerana kerja pembinaan projek tersebut kini dalam proses.

“Dengan adanya kemudahan tersebut di kampung berkenaan, masalah kekurangan air terutama menjelang musim kemarau akan dapat diatasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Rahman menambah, penduduk terbabit pada masa ini tidak mempunyai pilihan kerana kedudukan kampung mereka yang jauh di kuala Sungai Limbang dan berdekatan dengan perairan laut.

“Penduduk juga terpaksa turun ke bandar untuk mengangkut air memandangkan mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk mendapatkan air minum.

“Selain itu, pihak Jabatan Laut juga tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk penduduk berbuat demikian,” katanya.

Beliau menambah, berbeza dengan kampung di sepanjang hulu sungai yang bergantung kepada air sungai untuk minum, mandi dan mencuci pakaian.

“Bagi penduduk yang mendiami pesisir laut , mereka tidak dapat bergantung dengan air laut dan perlu turun ke Bandar untuk mendapatkan air minum,” jelasnya lagi.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga t idak mempunyai peruntukan khas untuk menangani masalah itu.

“Jika keadaan bertambah serius, mereka boleh mendapatkan bantuan air daripada Jabatan Kerja Raya.

“Namun, kita berharap keadaan akan kembali pulih berikutan hujan mulai turun sejak dua hari lalu di daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu pihak koraktor yang dilantik agar dapat menyiapkan projek berkenaan untuk kemudahan dan kegunaan penduduk.

Beliau yang tidak menyatakan bila ia akan dapat disiapkan yakin projek berkenaan dapat menangani masalah kekurangan air di kawasan berkenaan.

Sumber : Utusan Borneo Online

Tiada ulasan: